Thursday, January 26, 2012

Adakah Anda Cukup Matang?

Matang. Satu perkataan yg tampak mudah dan ringkas tetapi memberi impak yg sangat besar kepada semua kelompok individu tidak kira yg tua mahupun muda, yg gelap mahupun cerah. Konteks matang itu merupakan sesuatu yg sangat subjektif serta mempunyai pelbagai terjemahan, tafsiran dan interpretasi bergantung kepada individu yg mentafsirnya. Perkataan matang sering digunapakai dengan sesukahati tanpa melalui proses pemahaman, penghuraian, pemerhatian dan penganalisaan yg menyeluruh serta kritikal.
Tidak ada tafsiran dari sudut bahasa di sini kerana skop bahasa ini terlalu luas dan akan ditafsir sesukahati mengikut daya kreativiti imaginasi pembaca yg tinggi.
Jika diterjemahkan dari sudut konstruksi sosial, umum akan berpandangan bahawa seseorang itu sudah matang apabila beliau mampu menyelesaikan satu masalah dengan pemikiran idea yg kreatif, kritis dan kritikal. Harus difahami, konsep “Tiga K” ini juga bergantung kepada tahap permasalahan yg diberikan. Analogi mudah. Seorang pelajar Tingkatan Empat menyelesaikan satu soalan Bahasa Melayu yg mengkehendaki beliau menjawab soalan berdasarkan teks, menghuraikannya dan memberi pandangan beliau sendiri berkaitan isi yg terdapat di dalam teks. Itu jelas telah menunjukkan penggunaan konsep “Tiga K” yg asas. Faham. Analisa. Hurai.
Apabila kita melihat epistemologi matang dari sudut Islam, konsep matang itu adalah membuat keputusan. Apa yg dikatakan matang ini adalah apabila seseorang itu mampu membuat keputusan dengan mempertimbangkan kesan keputusan itu ke atas manusia dan persekitarannya dan bukan kepentingan dirinya semata mata. Robert Havighurst pula berkata dalam setiap peringkat umur manusia, mereka mempunyai tahap tugas tertentu yg perlu dicapai. Tugas tugas ini berbeza mengikut peringkat umur. Semakin meningkat umur, semakin berat beban tugas yg perlu diselesaikan.
Tujuan dihamparkan serba sedikit tentang maksud dan teori kematangan ini adalah berkait rapat dengan kenyataan kenyataan yg dikeluarkan oleh pihak tertentu yg seolah olah mempertikaikan atau tidak percaya dengan tahap kematangan mahasiswa pada masakini. Harus diingatkan, jika dilihat dari sudut sudut yg telah diberikan mahasiswa jelas telah mencapai tahap kematangan yg cukup untuk membenarkan mereka terlibat dengan politik seawal lapanbelas tahun. Akta Universiti Kolej Universiti. Seksyen 15(5) dilihat sebagai satu kekangan yg sangat membebankan mahasiswa sejak tahun 1971. Siri penentangan demi penentangan telah ditunjukkan oleh mahasiswa tanpa mempedulikan akta tersebut. 1974. 1999. Dan banyak lagi.
Terkini, dalam kes yg membabitkan empat orang pelajar UKM atau lebih dikenali sebagai UKM4, seksyen 15(5) telah diklasifikasikan sebagai tidak sah dan bercanggah dengan perlembagaan. Ini jelas menunjukkan kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan tidak dapat dikekang oleh akta tersebut. Dan ini juga jelas menunjukkan kemenangan mahasiswa dalam menuntut salah satu hak mereka.
Terkini juga(maaf terlalu banyak repetitif dan pengulangan kata). Kerajaan dikatakan hendak melakukan pindaan seksyen 15(5) dengan meletakkan had minima umur 21 tahun boleh bergiat dalam politik. Rasional umur 21 tahun ini mengikut kenyataan yg dikeluarkan oleh PM adalah kerana ia adalah umur matang undang undang atau majority age. Dan umur 21 tahun dikira matang untuk mengendalikan diri sendiri.
Maaf jika saya khilaf tentang kenyataan tersebut. Soalnya, bukankah umur matang undang undang bagi rakyat Malaysia ialah 18 tahun? Dan 21 merupakan had minima umur untuk mengundi? Baik. Persoalan utama yg cuba disampaikan ialah sejauh mana kerajaan atau pihak elitis mengukur tahap kematangan seseorang itu terutama bagi golongan mahasiswa. Jika dikatakan seseorang itu boleh mengendalikan diri pada umur 21 tahun, mengapa lesen kereta diberikan kepada yg berumur 17 tahun dan lesen motor kepada individu seawal 16 tahun?
Alasan untuk meletakkan had minima umur 21 tahun dilihat sebagai tidak patut. Adakah jika mahasiswa itu mempunyai kebebasan untuk berparti akan menyebabkan mereka terpesong daripada tujuan asal mereka iaitu belajar? Bagi saya, dakwaan seperti itu jelas telah menunjukkan betapa tahap kematangan mahasiswa itu telah dipandang rendah oleh sesetengah pihak. Mahasiswa merupakan golongan yg sedang belajar dan wajib diberi pendedahan dari segala sudut baik akademik formal mahupun tidak formal. Jadi, untuk membuat andaian melulu yg mahasiswa akan mengabaikan pembelajaran mereka jika diberi kebebasan seumpama itu adalah sangat melampau. Dan mahasiswa sebahagian besarnya bukan berminat dengan parti parti luar. Cukup sekadar ambil tahu dan tidak ramai yg terlibat secara aktif dengan parti.
Apa yg dituntut di sini ialah kebebasan untuk berakademik. Politik luar merupakan akademik tidak formal. Sekadar belajar tentang teori semata mata tidak akan membantu. Apa yg diperlukan di sini ialah pendedahan kepada dunia luar. Pendedahan yg praktikal. Ini mampu untuk menjadi salah satu platform kepada mahasiswa untuk belajar tentang selok belok dunia politik yg sebenar.
Sebenarnya, tujuan penulisan ini adalah untuk menzahirkan ketidakpuasan hati kepada pihak yg memandang rendah terhadap tahap kematangan mahasiswa. Tidak lebih dari itu. Harus diingatkan, golongan mahasiswa merupakan minoriti yg terbesar di setiap negara dan mampu untuk mengubah corak pentadbiran sesuatu negara itu. Mahasiswa merupakan golongan pelapis yg bakal menerajui negara suatu hari nanti. Saya tidak akan gunakan perkataan seperti solidariti untuk mahasiswa yg sering digunapakai oleh beberapa pihak. Perkataan itu dilihat sebagai satu kehendak yg radikal dan terlalu menentang. Cukuplah sekadar golongan mahasiswa itu punya akal dan minda yg mampu memberi impak besar kepada negara.
Kematangan itu bukan diukur melalui umur tetapi kematangan itu diukur melalui cara seseorang individu itu berfikir dan membuat pertimbangan rasional.

**[kredit kepada Razan Rose, di atas perkongsian idea ini]