Thursday, November 24, 2011

KERAJAAN vs PEMBANGKANG part 1

KERAJAAN..

Dari 1 sisi, kita lihat kerajaan sedia ada, Kerajaan Barisan Nasional yang memerintah Malaysia tercinta ini. Banyak pembangunan, banyak infrastruktur dibina, banyak pelaburan dan banyak juga peluang pekerjaan dibuka untuk rakyat tempatan. Jaringan jalan raya dibina menghubungkan utara dan selatan, timu dan barat. Lapangan-lapangan terbang bertaraf antarabangsa memudahkan kemasukan pelancong dari luar negara. Faktor keselamatan dititikberatkan dengan faktor modenisasi Angkatan Tentera Malaysia. Penerimaan inventori baru yang berteknologi terkini untuk ATM menaikkan kepercayaan rakyat dengan kesiapsiagaan pasukan keselamatan negara. Jaringan telekomunikasi, sistem penyampaian kepada rakyat dan sistem beraja yang teratur adalah antara hasil kemerdekaan negara. Banyak lagi yang boleh diceritakan, tapi kita sendiri boleh mengetahui, dari mana dan bagaimana untuk mengetahui apa kebaikan yang telah kerajaan curahkan demi membangunkan negara ini sejak kemerdekaan.

Dari 1 sisi yang lain, kita boleh melihat apa usaha kerajaan menundukkan para penentang mereka yang mereka rasakan berbahaya kepada kewujudan mereka. Sejarahnya bermula sebelum negara kita merdeka lagi. Seusai kewujudan Malayan Union berada di tanak berdaulat ini dengan suara rakyat-rakyat Malaya ketika itu (yakni orang-orang Melayu) menolaknya, parti-parti politik tumbuh bagaikan cendawan. Antara yang terawal dan kita sedia maklum adalah Kesatuan Melayu Muda yang ditubuhkan lama sebelum Perang Dunia Ke-2 meletus, Hizbul Muslimin, Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Angkatan Pemuda Insaf (API), Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR), Malayan Chinease Association (MCA), Malayan Indian Congress (MIC), dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Parti-parti politik ini bolehlah saya rumuskan dalam 2 kumpulan, haluan kiri seperti Hizbul Muslimin, PKMM, AWAS dan API.

Manakala haluan kanan pula ada seperti PEKEMBAR ,MCA dan MIC. PEKEMBAR yang saya rasakan malu menggunapakai nama Melayu telah menukar nama parti mereka kepada UMNO atau United Malays National Organization untuk lebih seiring dengan kehendak British ketika itu, mengInggeriskan orang Melayu yang dungu. Dato' Onn ketika itu Yang Di-Pertua Agung UMNO menggelar parti-parti politik berhaluan kiri (kerana mereka menuntut kemerdekaan tidak selari dengan kehendak British) adalah "MUSUH DARI GUNUNG" terutama sekali Hizbul Muslimin kerana parti-perti politik haluan kiri banyak berpusat di Gunung Semanggol, Perak. Ustaz Abu Bakar al-Baqir, Ahmad Boestaman, pemimpin Hizbul Muslimin dan API antara yang ditangkap dan dimasukkan ke penjara oleh British selepas pengisytiharan darurat pada 1948, itu pun atas restu pemimpin-pemimpin UMNO. Itulah kesalahan UMNO yang pertama sekali kepada musuh politiknya. Walaupun ramai yang ditangkap, tetapi ramai juga yang lari ke dalam hutan, menyelamatkan diri dan perjuangan.

Kemudian Parti Komunis Malaya menghulur tangan membantu, mengajak para pelarian politik ini menyertai perjuangan bersenjata menentang British, mengajak mereka menyertai Komunis secara langsung dengan tidak langsung. Jadi disini, siapakah yang memaksa anak Melayu masuk ke dalam hutan dan menyertai perjuangan Komunis sehingga tertubuhnya Rejiman Ke-10 PKM di Temerloh kalau bukan datuk nenek parti yang memerintah negara sekarang.

Masih ingat lagi antara pidato Ibrahim Yaacob, "Penjajah tetap penjajah, macam mana mereka membantu kita pun mereka tetap penjajah, dan sesiapa yang mengikut telunjuk penjajah adalah penjajah juga...", begitulah antara isi pidato Ibrahim Yaacob. Kemudian, siapa kata pembangkang tidak pernah memenangi pilihan raya Persekutuan? Kalau ada yang berkata, orang itu lebih bodoh dari sejarah yang diubah itu sendiri. Pada Mei 1969, DAP dan parti-parti pembangkang lain ketika itu memenangi pilihan raya, dan tiba-tiba berlaku kekecohan yang dinamakan Peristiwa 13 Mei 1969. Seakan peristiwa itu sengaja direka-reka untuk menolak kemenangan parti DAP kerana perkara ini boleh dilihat apabila MAGERAN yang memerintah Malaysia menyerahkan kuasa pemerintahan kepada parti Perikatan atau kini dikenali sebagai Barisan Nasional selepas 2 tahun memerintah negara. Jadi dimanakah persoalan pembangkang tidak pernah memenangi pilihan raya?

Antara rentetan peristiwa yang boleh anda ambil berat adalah Peristiwa Memali 1985 di Baling, Krisis Kehakiman 1988, Pindaan Perlembagaan berkenaan Imuniti Raja-raja 1993, perubahan dasar ke arah hubungan dengan negara-negara komunis, skandal rasuah agensi kerajaan, skandal pembelian inventori pasukan keselamatan, kes-kes rogol pemimpin mereka, ketirisan dalam perbelanjaan, penggunaan wang rakyat untuk tujuan peribadi, pertambahan hutang negara, Undang-2 yang tak selari dengan Perlembagaan, menyekat kebebasan mahasiswa, mengupah syarikat luar kononnya menaikkan nama negara (kenapa tiada usaha sendiri??).

Contoh terbaru yang perlu dititikberatkan, Pemansuhan PPSMI dan kemudiannya berubah-ubah keputusan untuk memansuhkannya, Pemansuhan ISA, dan masih ada rakyat ditahan dengan Akta ISA, dari sini kita tahu bahawa kerajaan tidak pernah konsisten dengan keputusan mereka. Jadi kita boleh mengagak bahawa slogan "Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan" juga mungkin berubah kepada "Rakyat didahulukan dengan bebanan kesalahan kerajaan, Pencapaian kerajaan untuk terus memerintah diutamakan". Kerajaan Barisan Nasional sering menuduh para penyokong pembangkang, para pembangkang adalah komunis, pro-yahudi, dan berbagai lagi, tapi kita sedia maklun bahawa KERAJAAN jugalah yang membuat hubungan diplomatik dengan negara KOMUNIS, membantu fasiliti negara KOMUNIS, menganggap negara KOMUNIS adalah sahabat dalam pertubuhan ASEAN. Jadi siapakah KOMUNIS YANG SEBENAR DISINI? KERAJAAN ATAU PEMBANGKANG? Umpama meludah ke langit tetapi terkena muka sendiri. Kerajaan menuduh pemimpin pembangkang adalah pro-Yahudi, ejen Yahudi sebaliknya pemimpin kerajaan jugalah yang membenarkan kapal-kapal dagang negara haram Yahudi, Israel untuk berlabuh dan menggunakan pelabuhan kita. Jadi dimana integriti sebenarnya?

Parti pembangkang dinafikan hak akses kepada media perdana tanah air, dinafikan hak untuk menyuarakan sesuatu dari pandangan mereka sendiri. Jadi, dimanakah keadilan sosial yang dilaungkan dulu? Apa gunanya kemerdekaan kalau undang-undang yang ada memerintah seperti zaman penjajahan?

Ada antara kawan-kawan saya pernah berkata, "Kalau pembangkang memerintah negara ni, mesti negara kita akan bankrap, negara akan jadi kucar-kacir, pelabur lari...". Betul ke? Ambil contoh negeri Selangor dan Pulau Pinang yang diperintah oleh parti pembangkang negara ini, adakah negeri-negeri ini sudah bankrap? Adakah negeri-negeri ini sudah kucar-kacir? Sedangkan hakikatnya laporan Ketua Audit Negara menyatakan bahawa Selangor merupakan negeri yang menarik pelabur paling banyak di Malaysia dan menyumbang kepada pendapatan negara yang utama. Manakala Pulau Pinang pula terus maju seiring dengan pemberian gelaran Tapak Warisan Dunia UNESCO. Kuala Lumpur dapatkah gelaran itu? Kawan saya itu boleh saya kata tidak mengetahui fakta dan membaca auta daripada surat khabar arus perdana kawalan Kerajaan Barisan Nasional.

Inilah taktik permainan kawalan minda yang dilakukan para pemimpin kerajaan untuk menakut-nakutkan rakyat dengan menyatakan, jika kerajaan berubah tangan, negara akan bankrap, tapi sedarkah kalian, tanpa kerajaan berubah juga, negara kita 'menikmati' tambahan bebanan hutang nasional yang semakin tinggi? Di mana silapnya? Mungkin jika kerajaan berubah parti yang memerintahnya, negara ini akan bankrap, tapi warisan daripada siapa? Sudah tentu daripada bekas kerajaan terdahulu. Para pemimpin Barisan Nasional menyatakan bahawa parti pembangkang derhaka kepada Raja, tetapi lupakah kalian bahawa Kerajaan Barisan Nasional jugalah yang MERAMPAS imuniti Raja-raja Melayu sehinggakan mereka tidak mempunyai kuasa lagi. Kalau benar Barisan Nasional tidak derhaka kepada Raja, awal-awal kemerdekaan lagi mereka telah menyerahkan kembali kuasa Raja seperti sebelum tahun 1874 dengan meminda Perlembagaan. Mengapa mereka tidak melakukannya? Jadi di mana silapnya kita sebagai rakyat jelata?

Memetik kata-kata keramat George Santayana pada 1905, "Those who cannot remember the past are condemned to repeat it.."

Wednesday, November 23, 2011

Bila Anak Muda Berbicara

Gegak gempita dari tengah ibu kota
Saat anak-anak muda mahasiswa
Membanjiri setiap pemikiran dan hati nurani anak muda
Mereka bangun menentang ketidakadilan
Dek kerana undang-undang lapuk yang membelenggu

KAMI muncul saat mahasiswa dahagakan kepimpinan
KAMI muncul saat mahasiswa dahagakan pembaharuan
KAMI muncul saat mahasiswa tenggelam dalam telunjuk orang atas

Mana kebebasan yang dilaungkan Dato' Onn
Mana kemerdekaan yang diagungkan Tunku Abdul Rahman
Mana perpaduan yang diusahakan Tun Hussien Onn

Solidariti Mahasiswa Malaysia bukan mainan mulut
Jangan anggap KAMI ini budak-budak hingusan
Biar KAMI mati dalam perjuangan menuntut kebebasan di tanah air sendiri
Asalkan generasi selepas ini menikmati kemakmuran yang dijanjikan dalam buku agung negara
PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN!!!

HIDUP MAHASISWA MERDEKA!!
HIDUP MAHASISWA BEBAS DAN BERDAYA USAHA!!
HIDUP MAHASISWA YANG BERJIWA MULIA!!

Biar tumbuh sumur di ladang,
Darah pahlawan menitis lagi,
Biar mati anak muda yang berjuang,
Namanya harum kekal mewangi.

Tuesday, November 15, 2011

Hutang negara bertambah? Di mana silapnya?

Laporan akhbar berbahasa Inggeris, The Star dalam ruangan Star Biz, hari Khamis 3 November 2011, hutang negara bertambah sejak negara bertukar tampuk kerusi Perdana Menteri. Hutang negara pada 2011 RM241,689 juta daripada RM187,445 juta pada 2007. Ini bermakna peningkatan sebanyak RM54,244 juta. Hutang jangka pendek pula pada 2011 ialah RM92,191 juta berbanding pada 2007, RM54,468 juta, peningkatan sebanyak RM37,723 juta. Bagaimana hutang negara boleh bertambah sebanyak ini? Angka ini bukanlah angka kecil yang harus dipandang sipi oleh kebanyakan orang. Orang ramai sehingga kini masih diperbodohkan pemerintah yang mengatakan bahawa negara kita akan terlindung daripada kemelesetan ekonomi dan krisis hutang. Tapi bolehkah kita berbuat demikian? Sedangkan Greece dan Italy yang dikenali antara negara Eropah yang maju juga mampu melutu merayu negara komunis yang suatu ketika dahulu dimusuhi untuk membantu mereka keluar daripada belenggu hutang.

Memetik kata-kata Menteri Kewangan Kedua dalam laporan tersebut, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah, beliau berkata bahawa kita mempunyai penampan untuk mengimbangi hutang tersebut, jika tidak berlaku kemelesetan ekonomi dalam negara kita. Tapi bagaimana jika kemelesetan ekonomi berlaku? Bajet inisiatif yang diperkenalkan kerajaan sudah tentu tidak mampu menampung lagi hutang negara kita.

Laporan Bank Negara Malaysia pula mengatakan, rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia pada 31 Disember 2010 berjumlah RM328.6 billion dan mampu untuk membiayai import tertangguh selama 8.5 bulan dan 4.1 kali hutang jangka pendek negara.
laporan ini berdasarkan sumber Bank Negara Malaysia dan diakui sah. Rizab negara kita hanya mampu membiayai 4.1 kali hutang jangka pendek, bukannya hutang negara yang sebenar seperti yang saya berikan diatas. Jadi dimana kedudukan kewangan negara kita yang sebenar?