Thursday, November 24, 2011

KERAJAAN vs PEMBANGKANG part 1

KERAJAAN..

Dari 1 sisi, kita lihat kerajaan sedia ada, Kerajaan Barisan Nasional yang memerintah Malaysia tercinta ini. Banyak pembangunan, banyak infrastruktur dibina, banyak pelaburan dan banyak juga peluang pekerjaan dibuka untuk rakyat tempatan. Jaringan jalan raya dibina menghubungkan utara dan selatan, timu dan barat. Lapangan-lapangan terbang bertaraf antarabangsa memudahkan kemasukan pelancong dari luar negara. Faktor keselamatan dititikberatkan dengan faktor modenisasi Angkatan Tentera Malaysia. Penerimaan inventori baru yang berteknologi terkini untuk ATM menaikkan kepercayaan rakyat dengan kesiapsiagaan pasukan keselamatan negara. Jaringan telekomunikasi, sistem penyampaian kepada rakyat dan sistem beraja yang teratur adalah antara hasil kemerdekaan negara. Banyak lagi yang boleh diceritakan, tapi kita sendiri boleh mengetahui, dari mana dan bagaimana untuk mengetahui apa kebaikan yang telah kerajaan curahkan demi membangunkan negara ini sejak kemerdekaan.

Dari 1 sisi yang lain, kita boleh melihat apa usaha kerajaan menundukkan para penentang mereka yang mereka rasakan berbahaya kepada kewujudan mereka. Sejarahnya bermula sebelum negara kita merdeka lagi. Seusai kewujudan Malayan Union berada di tanak berdaulat ini dengan suara rakyat-rakyat Malaya ketika itu (yakni orang-orang Melayu) menolaknya, parti-parti politik tumbuh bagaikan cendawan. Antara yang terawal dan kita sedia maklum adalah Kesatuan Melayu Muda yang ditubuhkan lama sebelum Perang Dunia Ke-2 meletus, Hizbul Muslimin, Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Angkatan Pemuda Insaf (API), Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR), Malayan Chinease Association (MCA), Malayan Indian Congress (MIC), dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Parti-parti politik ini bolehlah saya rumuskan dalam 2 kumpulan, haluan kiri seperti Hizbul Muslimin, PKMM, AWAS dan API.

Manakala haluan kanan pula ada seperti PEKEMBAR ,MCA dan MIC. PEKEMBAR yang saya rasakan malu menggunapakai nama Melayu telah menukar nama parti mereka kepada UMNO atau United Malays National Organization untuk lebih seiring dengan kehendak British ketika itu, mengInggeriskan orang Melayu yang dungu. Dato' Onn ketika itu Yang Di-Pertua Agung UMNO menggelar parti-parti politik berhaluan kiri (kerana mereka menuntut kemerdekaan tidak selari dengan kehendak British) adalah "MUSUH DARI GUNUNG" terutama sekali Hizbul Muslimin kerana parti-perti politik haluan kiri banyak berpusat di Gunung Semanggol, Perak. Ustaz Abu Bakar al-Baqir, Ahmad Boestaman, pemimpin Hizbul Muslimin dan API antara yang ditangkap dan dimasukkan ke penjara oleh British selepas pengisytiharan darurat pada 1948, itu pun atas restu pemimpin-pemimpin UMNO. Itulah kesalahan UMNO yang pertama sekali kepada musuh politiknya. Walaupun ramai yang ditangkap, tetapi ramai juga yang lari ke dalam hutan, menyelamatkan diri dan perjuangan.

Kemudian Parti Komunis Malaya menghulur tangan membantu, mengajak para pelarian politik ini menyertai perjuangan bersenjata menentang British, mengajak mereka menyertai Komunis secara langsung dengan tidak langsung. Jadi disini, siapakah yang memaksa anak Melayu masuk ke dalam hutan dan menyertai perjuangan Komunis sehingga tertubuhnya Rejiman Ke-10 PKM di Temerloh kalau bukan datuk nenek parti yang memerintah negara sekarang.

Masih ingat lagi antara pidato Ibrahim Yaacob, "Penjajah tetap penjajah, macam mana mereka membantu kita pun mereka tetap penjajah, dan sesiapa yang mengikut telunjuk penjajah adalah penjajah juga...", begitulah antara isi pidato Ibrahim Yaacob. Kemudian, siapa kata pembangkang tidak pernah memenangi pilihan raya Persekutuan? Kalau ada yang berkata, orang itu lebih bodoh dari sejarah yang diubah itu sendiri. Pada Mei 1969, DAP dan parti-parti pembangkang lain ketika itu memenangi pilihan raya, dan tiba-tiba berlaku kekecohan yang dinamakan Peristiwa 13 Mei 1969. Seakan peristiwa itu sengaja direka-reka untuk menolak kemenangan parti DAP kerana perkara ini boleh dilihat apabila MAGERAN yang memerintah Malaysia menyerahkan kuasa pemerintahan kepada parti Perikatan atau kini dikenali sebagai Barisan Nasional selepas 2 tahun memerintah negara. Jadi dimanakah persoalan pembangkang tidak pernah memenangi pilihan raya?

Antara rentetan peristiwa yang boleh anda ambil berat adalah Peristiwa Memali 1985 di Baling, Krisis Kehakiman 1988, Pindaan Perlembagaan berkenaan Imuniti Raja-raja 1993, perubahan dasar ke arah hubungan dengan negara-negara komunis, skandal rasuah agensi kerajaan, skandal pembelian inventori pasukan keselamatan, kes-kes rogol pemimpin mereka, ketirisan dalam perbelanjaan, penggunaan wang rakyat untuk tujuan peribadi, pertambahan hutang negara, Undang-2 yang tak selari dengan Perlembagaan, menyekat kebebasan mahasiswa, mengupah syarikat luar kononnya menaikkan nama negara (kenapa tiada usaha sendiri??).

Contoh terbaru yang perlu dititikberatkan, Pemansuhan PPSMI dan kemudiannya berubah-ubah keputusan untuk memansuhkannya, Pemansuhan ISA, dan masih ada rakyat ditahan dengan Akta ISA, dari sini kita tahu bahawa kerajaan tidak pernah konsisten dengan keputusan mereka. Jadi kita boleh mengagak bahawa slogan "Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan" juga mungkin berubah kepada "Rakyat didahulukan dengan bebanan kesalahan kerajaan, Pencapaian kerajaan untuk terus memerintah diutamakan". Kerajaan Barisan Nasional sering menuduh para penyokong pembangkang, para pembangkang adalah komunis, pro-yahudi, dan berbagai lagi, tapi kita sedia maklun bahawa KERAJAAN jugalah yang membuat hubungan diplomatik dengan negara KOMUNIS, membantu fasiliti negara KOMUNIS, menganggap negara KOMUNIS adalah sahabat dalam pertubuhan ASEAN. Jadi siapakah KOMUNIS YANG SEBENAR DISINI? KERAJAAN ATAU PEMBANGKANG? Umpama meludah ke langit tetapi terkena muka sendiri. Kerajaan menuduh pemimpin pembangkang adalah pro-Yahudi, ejen Yahudi sebaliknya pemimpin kerajaan jugalah yang membenarkan kapal-kapal dagang negara haram Yahudi, Israel untuk berlabuh dan menggunakan pelabuhan kita. Jadi dimana integriti sebenarnya?

Parti pembangkang dinafikan hak akses kepada media perdana tanah air, dinafikan hak untuk menyuarakan sesuatu dari pandangan mereka sendiri. Jadi, dimanakah keadilan sosial yang dilaungkan dulu? Apa gunanya kemerdekaan kalau undang-undang yang ada memerintah seperti zaman penjajahan?

Ada antara kawan-kawan saya pernah berkata, "Kalau pembangkang memerintah negara ni, mesti negara kita akan bankrap, negara akan jadi kucar-kacir, pelabur lari...". Betul ke? Ambil contoh negeri Selangor dan Pulau Pinang yang diperintah oleh parti pembangkang negara ini, adakah negeri-negeri ini sudah bankrap? Adakah negeri-negeri ini sudah kucar-kacir? Sedangkan hakikatnya laporan Ketua Audit Negara menyatakan bahawa Selangor merupakan negeri yang menarik pelabur paling banyak di Malaysia dan menyumbang kepada pendapatan negara yang utama. Manakala Pulau Pinang pula terus maju seiring dengan pemberian gelaran Tapak Warisan Dunia UNESCO. Kuala Lumpur dapatkah gelaran itu? Kawan saya itu boleh saya kata tidak mengetahui fakta dan membaca auta daripada surat khabar arus perdana kawalan Kerajaan Barisan Nasional.

Inilah taktik permainan kawalan minda yang dilakukan para pemimpin kerajaan untuk menakut-nakutkan rakyat dengan menyatakan, jika kerajaan berubah tangan, negara akan bankrap, tapi sedarkah kalian, tanpa kerajaan berubah juga, negara kita 'menikmati' tambahan bebanan hutang nasional yang semakin tinggi? Di mana silapnya? Mungkin jika kerajaan berubah parti yang memerintahnya, negara ini akan bankrap, tapi warisan daripada siapa? Sudah tentu daripada bekas kerajaan terdahulu. Para pemimpin Barisan Nasional menyatakan bahawa parti pembangkang derhaka kepada Raja, tetapi lupakah kalian bahawa Kerajaan Barisan Nasional jugalah yang MERAMPAS imuniti Raja-raja Melayu sehinggakan mereka tidak mempunyai kuasa lagi. Kalau benar Barisan Nasional tidak derhaka kepada Raja, awal-awal kemerdekaan lagi mereka telah menyerahkan kembali kuasa Raja seperti sebelum tahun 1874 dengan meminda Perlembagaan. Mengapa mereka tidak melakukannya? Jadi di mana silapnya kita sebagai rakyat jelata?

Memetik kata-kata keramat George Santayana pada 1905, "Those who cannot remember the past are condemned to repeat it.."

Wednesday, November 23, 2011

Bila Anak Muda Berbicara

Gegak gempita dari tengah ibu kota
Saat anak-anak muda mahasiswa
Membanjiri setiap pemikiran dan hati nurani anak muda
Mereka bangun menentang ketidakadilan
Dek kerana undang-undang lapuk yang membelenggu

KAMI muncul saat mahasiswa dahagakan kepimpinan
KAMI muncul saat mahasiswa dahagakan pembaharuan
KAMI muncul saat mahasiswa tenggelam dalam telunjuk orang atas

Mana kebebasan yang dilaungkan Dato' Onn
Mana kemerdekaan yang diagungkan Tunku Abdul Rahman
Mana perpaduan yang diusahakan Tun Hussien Onn

Solidariti Mahasiswa Malaysia bukan mainan mulut
Jangan anggap KAMI ini budak-budak hingusan
Biar KAMI mati dalam perjuangan menuntut kebebasan di tanah air sendiri
Asalkan generasi selepas ini menikmati kemakmuran yang dijanjikan dalam buku agung negara
PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN!!!

HIDUP MAHASISWA MERDEKA!!
HIDUP MAHASISWA BEBAS DAN BERDAYA USAHA!!
HIDUP MAHASISWA YANG BERJIWA MULIA!!

Biar tumbuh sumur di ladang,
Darah pahlawan menitis lagi,
Biar mati anak muda yang berjuang,
Namanya harum kekal mewangi.

Tuesday, November 15, 2011

Hutang negara bertambah? Di mana silapnya?

Laporan akhbar berbahasa Inggeris, The Star dalam ruangan Star Biz, hari Khamis 3 November 2011, hutang negara bertambah sejak negara bertukar tampuk kerusi Perdana Menteri. Hutang negara pada 2011 RM241,689 juta daripada RM187,445 juta pada 2007. Ini bermakna peningkatan sebanyak RM54,244 juta. Hutang jangka pendek pula pada 2011 ialah RM92,191 juta berbanding pada 2007, RM54,468 juta, peningkatan sebanyak RM37,723 juta. Bagaimana hutang negara boleh bertambah sebanyak ini? Angka ini bukanlah angka kecil yang harus dipandang sipi oleh kebanyakan orang. Orang ramai sehingga kini masih diperbodohkan pemerintah yang mengatakan bahawa negara kita akan terlindung daripada kemelesetan ekonomi dan krisis hutang. Tapi bolehkah kita berbuat demikian? Sedangkan Greece dan Italy yang dikenali antara negara Eropah yang maju juga mampu melutu merayu negara komunis yang suatu ketika dahulu dimusuhi untuk membantu mereka keluar daripada belenggu hutang.

Memetik kata-kata Menteri Kewangan Kedua dalam laporan tersebut, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah, beliau berkata bahawa kita mempunyai penampan untuk mengimbangi hutang tersebut, jika tidak berlaku kemelesetan ekonomi dalam negara kita. Tapi bagaimana jika kemelesetan ekonomi berlaku? Bajet inisiatif yang diperkenalkan kerajaan sudah tentu tidak mampu menampung lagi hutang negara kita.

Laporan Bank Negara Malaysia pula mengatakan, rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia pada 31 Disember 2010 berjumlah RM328.6 billion dan mampu untuk membiayai import tertangguh selama 8.5 bulan dan 4.1 kali hutang jangka pendek negara.
laporan ini berdasarkan sumber Bank Negara Malaysia dan diakui sah. Rizab negara kita hanya mampu membiayai 4.1 kali hutang jangka pendek, bukannya hutang negara yang sebenar seperti yang saya berikan diatas. Jadi dimana kedudukan kewangan negara kita yang sebenar?

Wednesday, October 12, 2011

Nun di sana awan hitam kian berarak pergi
Kau tidak lagi dibayangi kegelapan
Tapi mengapa kalian masih termangu-mangu mencari jalan keluar kekusutan
Sedang aku menawar kalian erti perjuangan

Memerdekan tanah air bukan terhenti pada laungan
Kemerdekaan tanah air terletak sejauh mana kau bebas
Sejauh mana merdekanya engkau di tanah merdeka

Merdekakah engkau dari cukai yang hanya si miskin merasa?
Merdekakah kau dari halangan yang sengaja dibuat-buat?
Merdekakah engkau andai janji itu ini tidak ditepati?
Merdekakah engkau andai kitab destini negara ini perkotak katik?
Merdekakah engkau anak bumi andai orang di atas memerah keringatmu?

Hanya naluri kecilmu mampu menjawapnya
Kerana hati besarmu terikat dengan propaganda
Kau biar orang yang kau pilih memerah keringatmu
Sementelah kau masih di situ

Dia yang kau pilih kini berkereta besar
Menikmati nyamannya pendingin hawa
Sedang kau, membanting keringat
Memercik peluh demi sesuap rezeki
Apa yang berubah dalam hidupmu?
Apa yang ditambah dalam hartamu?
Apa imbalan yang kau dapat setelah namanya kau pangkah masuk ke peti besi?

Di sini aku menawarkan sama rata dalam hidupmu
Tiada yang lebih tiada yang kurang
Jika kau lebih, itu usahamu
Bukan keringat sang buruh dan petani
Jika kau kurang, itu malasmu
Bukan salahnya alam dan juga Tuhan

Mengapa kau butakan matamu saat negara ini memerlukannya?
Kau hantar anak muda remaja menghasut sesama mereka
Aku parti ISLAM, aku parti MELAYU
Apa yang ada?
Hanya perpecahan

Maka aku menawar perdamaian
Menawar perpaduan
Bawah 1 bumbung kebangsaan
Kita tunaskan rasa cinta dan setia kepada pertiwi
Bukan lagi pada orang persorangan atau organisasi

Ayuh bangkit bangsaku
Kerah keringatmu sekali lagi
Maju ke baris hadapan
Andai diplomasi gagal dan kecewa
Jalan revolusi ternyata masih menyala!

Tuesday, October 4, 2011

Bila aku terkenang Rosli Dhobi
Alangkah sebak dada ini menahan pilu
Sang anak watan yang mengiring
Menjadi barua si penjajah
Hingga kini masih berterusan

Mana ada merdeka tanpa darah anak watan tumpah menyuburkan pertiwi
Jika merdeka tanpa darah menyirami pertiwi
Maka pasti negara cuma boneka sang koloni
Untung anak bangsa aku kini berilmu
Tahu mana yang benar mana yang dusta
Tapi mana keberanian kalian?
Kalian hanya diam membisu bagaikan patung tugu itu

Aku bukan mengajar kalian derhaka pada ibu pertiwi
Aku bukan meminta kalian derhaka pada sang Raja yang asal
Aku cuma meminta kalian sedar negara kita bukanlah boneka
Diperkotak-katik oleh orang luar
Tanah ini bukan untuk mengisi orang asing yang terdampar
Manakan jadi kuih andai dicemari bahan asing yang tidak ketahui asalnya..

Aku hanyalah sang penulis
Bukan lagi pejuang sebenar yang berjuang di baris hadapan
Tapi aku mampu ke sana
Andai kalian yang ada bersama aku
Jangan biar Gaddafi menguasai tanah ini selamanya
Jika kau biar, anak cucunya masih ada
Hilang tumbuh patah bergantilah Gaddafi baharu

Maaflah anak bangsa aku
Aku tak percaya pada pilihan pangkah dan tolak dalam kerajaan
Yang aku percaya pentadbir yang mampu memberi sama rata dalam kekayaan negara
Yang tiada tolak ansur dalam hak anak bumi ini daripada kata-kata orang luar

Ingin aku bertanya
Jika ada orang berkata anakmu jalang
Marahkah kalian padanya?
Tapi mengapa bila perkara sama terjadi
Pentadbir kita menyepi diri?
Mana dia rakyat didahulukan?
Mana dia Islam yang kononnya urbanisasi?
Mana dia Wawasan menuju kejayaan?
Andai inflasi dan korupsi berleluasa
Andai krisis ekonomi kita tak termampu solusinya?

Wahai anak bangsaku
Kau pilih berjuang secara merdeka
Atau berjuang secara berkala!

Saturday, October 1, 2011

AKU KINI PEJUANG IDEOLOGI LAMA YANG BERNAFAS BARU
IKUTLAH KATA HATI KALIAN DENGAN MENGAMALKAN HAK SAMA RATA
AKU MUNGKIN KANDAS DALAM PERJUANGAN INI
KERANA AKU TAHU KALIAN KINI TERTIPU DENGAN KATA-KATA DUNIA
TAPI PERCAYALAH, HIDUP INI HANYA AKAN BERUBAH ANDAI KITA BERUSAHA UNTUK MENGUBAHNYA
PERJUANGAN AKU MUNGKIN MENDAPAT SOKONGAN SEGELINTIR PIHAK SAHAJA
TAPI AKU PERCAYA, PERJUANGAN MURNI AKU UNTUK MENDAPATKAN HAK ANAK BANGSA AKU YANG MERDEKA PASTI DIHARGAI DI KEMUDIAN HARI
AKU MASIH TAK MAMPU UNTUK BERJUANG DENGAN SENJATA
TAPI AKU PERCAYA AKU MAMPU BERJUANG DENGAN PENA DAN KATA-KATA

PERCAYALAH PADA AKU UNTUK MENGUBAH PERSEPSI DUNIA
KERANA

"PUISI ITU ADALAH SENJATA REVOLUSI DIRI DAN MASYARAKAT"
Satu hari aku di kotaraya
Namun aku tiba saat aku dihalang anjing si gila
Dia gila kuasa gamaknya
Konon demokrasi kebebasan dilaungkan

Kau kerah segala keringat anak bumi ini
Sesudah kau alirkan darah pada perjuangan sia-sia yang menjanji hak sama rata
Demokrasi bak Socrates bukanlah sistem yang baik
Bukan jua jalan singkat kau mengaut harta
Inikah cara kau balas budi anak bangsaku?

Bila demokrasi dipermainkan
Apa lagi yang tinggal buat golongan tengah dan bawah?
Kalau bukan najis pembangunan yang terencat
Buku destini tanah air ini
Kau bakar hangus dalam hati anak bangsa aku yang merdeka

Ayuh bangsaku yang merdeka
Gerakkan keringatmu biar bermandi darah
Kau lenyapkan kesombongan penganut kapitalis kini
Biar kesamarataan yang mengatur tadbir
Dan buku Das Capital menjadi peganganmu

Negara Ini Milik Kita

Ku lihat awat hitam berarak dari selatan
Rupanya puncak hiearki yang mencipta
Ku lihat anak bumi ini mencipta kasta
Namun tiada siapa yang tentang

Ayuh bangun bangsaku
Kita bukan lagi hamba abdi penjajah
Yang harus mengikut telunjuk sang pendusta
Adakah bangsaku suka dibeza-beza?
Dia VIP, dia pak menteri, dia orang kaya
Sedangkan kita adalah sama
Makhluk yang bernama manusia!!

Marilah bangsaku
Kerah segala kudrat zahir batinmu
Majulah ke barisan hadapan
Yang menjanjikan kesamarataan
Dalam hidup bersosial
Negara ini milik kita
Bukan warisan penggerak kapitalisme!

Monday, May 30, 2011

Diri Yang Kesepian

Ibu yang aku sayangi
Semoga kesejahteraan melingkari hidupmu
Semoga rahmat Allah sentiasa disisimu
Di dunia ini dan selepasnya

Ibu yang aku sanjungi
Aku doakan kebahagiaanmu
Semoga Allah menempatkan ibu
Di kalangan hamba-hambanya yang solehah

Ibu ku yang dirindui
Maafkan dosa anakmu ini
Semoga ibu sentiasa dikurniakan Allah
Kedamaian dan keimanan yang tinggi

Diriku yang kesepian tanpa ibu
Semoga Allah mengurniakan kesabaran yang tinggi padaku,
Saatku memandang jasad kaku ibu
Saat ibu berselimutkan kain kafan
Saat ibu ku usung ke kuburan
Saat pusara ibu ku sirami air mawar
Saat kaki melangkah pergi meninggalkan perkampungan abadi ibu
Saat diri ini sedar aku keseorangan
Agar aku tabah melayari kehidupan
Agar aku tabah mengiringi pemergian ibu

Ibuku yang tersenyum mesra
Maafkan dosa-dosa anakmu ini
Halalkan setiap titik susu ibu
Serta segala makan minumku

Ya Rahman Ya Rahim
Ampunkan segala dosa ibu
Tempatkan ibuku di Firdaus
Jannah untuk hamba-Mu yang soleh

Buat ibu yang teramat aku sayangi
"Selamat Hari Ibu"



pena istiqamah
2120 p.m. / May 6, 2009